Halaman

Sabtu, 17 Oktober 2015

Keistimewaan perbankan islam berbanding berbankan konvensional

assalamualaikum dan salam maal hijrah. Pada kali ini marilah kita bersama merenung sebuah artikel yang bermanfaat ni moga ada manfaatnya. Perbankan Islam Perbankan Islam telah diperkenalkan di Malaysia sejak perkembangan Islam di kepulauan nusantara pada abad ke-12. Pada ketika itu, undang-undang Islam dalam perdagangan telah mula mempengaruhi masyarakat tempatan. Selepas negara mengecapi kemerdekaan, permintaan untuk mewujudkan satu institusi kewangan yang halal dan berpaksikan hukum syarak yang telus telah meningkat. Antara bank terawal yang mengamalkan sistem perbankan Islam secara penuh termasuklah Tabung Haji serta Bank Islam Malaysia berhad yang ditubuhkan pada tahun 1983 dan dikawalselia di bawah Akta Perbankan Islam 1983. Sedekad kemudiannya, bank-bank konvensional mengambil inisiatif dengan menawarkan jendela Islamik (Islamic window) dalam urusniaga mereka sebagai contoh, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan sebagainya. Di samping itu, suatu inisiatif lain telah diambil oleh pihak Bank Negara Malaysia bagi menggalakkan lagi sistem Perbankan Islam untuk diterima pakai bukan sahaja di Malaysia, malah membawa idea tersebut ke negara asing. Menakjubkan apabila beberapa negara asing turut menerima sistem ini untuk diamalkan dalam sistem perbankan mereka justeru memperlihatkan persetujuan bahawa sistem Perbankan Islam menganjurkan pelbagai keistimewaan. Objektif penubuhan perbankan Islam yang terbahagi kepada dua, iaitu berlandaskan faktor tuntutan agama dan juga faktor keuntungan menjadi suatu ukuran perbezaan sistem ini dengan sistem perbankan konvensional masa kini. Istimewanya, sistem ini mementingkan hukum syariah sebagai garis panduan dalam transaksi perbankan yang dijalankan. Perbezaan sistem perbankan Islam dengan sistem perbankan konvensional boleh dilihat dari pelbagai aspek. Pertamanya, dari segi asas perbankan tersebut. Terdapat beberapa elemen yang membezakan sistem perbankan islam dan konvensional melalui aspek ini seperti, asasnya, sistem perbankan islam dilahirkan melalui wahyu Allah yang bererti sistem ini berlandaskan Al- Quran sebagai sumber utama yang memacu perlaksanaannya. Dalam surah Al- Baqarah, ayat ke 2 telah menyebut bahawa “Kitab Al-Quran ini, tidak ada keraguan padanya dan merupakan petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.” Berlainan pula dengan sistem perbankan konvensional yang dicipta oleh manusia sendiri maka bila akal dan fikiran manusia yang menjadi asas rujukan, sistem ini terdedah kepada kelemahan dan kekurangan kerana ilmu manusia tidaklah setanding dengan ilmu Allah yang Maha Esa. Seperti yang dianjurkan oleh ajaran hukum syarak Islam yang benar, dan juga berlandaskan sumber utama dalam Islam iaitu Al- Quran, sistem perbankan Islam tidak mengamalkan sama sekali kegiatan riba, gharar dan maysir. Larangan mengenai riba jelas disebutkan dalam Al- Quran di dalam surah Al- Baqarah ayat 275 yang menyebut “ … Dan sesiapa yang mengulangi (mengambil riba) maka mereka itulah ahli neraka. Mereka kekal di dalamnya.” Sebagai contoh, dalam kontrak Al- Wadiah iaitu sebuah kontrak apabila pemilik harta mengamanahkan pihak bank menyimpan wangnya untuk tujuan pinjaman semata, pihak bank tidak akan memberikan faedah melalui pinjaman wang tersebut malah wang bonus yang akan diberikan dalam bentuk hibbah berteraskan budi bicara pihak bank setelah menilai lebihan keuntungan yang diperoleh itu dan tidak sama sekali melibatkan riba. Berlainan pula dengan sistem perbankan konvensional, faedah atau keuntungan yang diberikan kepada pemilik harta itu adalah merupakan riba yang seharusnya dilarang oleh hukum syarak. Begitu juga dengan gharar iaitu suatu kontrak yang mempunyai unsur ketidakpastian dan maysir iaitu kontrak perjudian, kontrak- kontrak sebegini adalah dilarang sama sekali dari segi hukum syarak atas sebab yang diketahui umum iaitu bakal mendedahkan pihak berkontrak kepada penyelewengan serta ketidakadilan. Maka, sistem perbankan Islam adalah melibatkan kontrak-kontrak perniagaan yang dibenarkan di dalam Islam. Antaranya ialah, pertama, kontrak Al- Mudharabhah iaitu suatu kontrak perkongsian untuk mendapat keuntungan yang diwujudkan antara dua pihak, iaitu pemodal dan pengusaha. Seterusnya, keuntungan akan dikongsi bersama berdasarkan persetujuan atau kerugian akan ditanggung oleh pemodal. Selain itu, kontrak Musharakah pula merupakan suatu kontrak persepakatan antara dua pihak atau lebih untuk menggabungkan sama ada modal, kerja atau komitmen dengan sasaran mendapatkan keuntungan. Di samping itu, kontrak Al Ijarah juga turut diamalkan oleh perbankan islam di mana akad sewa atau upah yang melibatkan faedah atau manfaat daripada sesuatu aset atau tenaga kerja dengan bayaran atau upah tertentu dalam tempoh yang dipersetujui. Antara kontrak lain yang diamalkan termasuklah yang berlandaskan syariah Islam seperti Bai As- Salam dan juga Bai Al- Istisna’. Kontrak-kontrak perniagaan halal ini adalah menjadi suatu alternatif kepada sistem perniagaan riba yang ada di dalam bank Konvensional yang diamalkan pada masa kini agar dapat megikut anjuran hukum syarak yang sebenar. Dari aspek hubungan antara pihak bank dan juga pemberi amanah itu sendiri, perbezaan ketara jelas didapati di mana dalam perbankan Islam, hubungan antara pihak bank dengan pemberi amanah itu dibentuk melalui transaksi jual beli, pelaburan atau perkongsian untung rugi. Manakala, hubungan di antara pihak bank konvensional dengan pelanggan terbentuk daripada transaksi pinjaman atau hutang. Seterusnya, mengenai urusan zakat pula, dalam sistem perbankan islam, adalah merupakan satu tanggungjawab sosial pihak bank untuk terlibat dalam pembayaran zakat di mana dalam sistem perbankan konvensional, tiada peruntukan untuk pengeluaran zakat ditetapkan. Tidak lupa juga, suatu transaksi yang selamat, bebas dari segala penipuan itu memerlukan pemantauan yang berkala agar pematuhan garis panduan sentiasa terjamin. Justeru, bagi sistem Perbankan Islam, segala urusan perbankan Islam akan dipantau oleh Ahli ataupun Majlis Jawatankuasa Penasihat Syariah dan Audit Syariah yang bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan hukum Syariah di sesebuah bank. Berlainan pula dengan perbankan konvensional, sistem pemantauan adalah tidak diamalkan dari segi syariahnya justeru membuka ruang bagi sistem ini melanggar hukum syariah yang menjadi teras kesepaduan umat islam itu sendiri. Bukan sahaja untuk umat Islam, malah masyarakat yang datang daripada agama lain haruslah sedar tentang kelebihan sistem perbankan Islam ini kerana kelebihannya itu memberi faedah kepada masyarakat secara universal. Kesimpulannya, memandangkan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang majoriti rakyatnya terdiri daripada umat Islam, maka eloklah sekiranya sistem perbankan Islam diperluaskan lagi agar menjamin transaksi yang berlandaskan hukum agama Islam yang benar dan telus. Namun, tidak dinafikan, inisiatif yang diambil oleh pelbagai pihak terutamanya pihak bank negara perlu diberi penghargaan. Penubuhan serta penggalakan jendela islamik oleh bank konvensional yang lain menjadikan sistem perbankan di Malaysia terjamin dari sebarang penyelewengan maka rakyat malaysia khususnya umat Islam turut mempunyai pilihan yang pelbagai dalam menjalankan transaksi dengan pihak bank. Malah, sistem perbankan islam juga turut mendapat tempat di hati masyarakat yang beragama lain. Justeru, tidak dapat dinafikan lagi bahawa hukum Allah adalah yang paling lengkap maka keberkatan akan mengiringi segala urusan dalam hidup sesebuah masyarakat itu malah keadilan juga dapat ditegakkan. Oleh: Norliana binti Azenan, Fakulti Undang – Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia. sumber: laman web islam itu indah

Isnin, 5 Oktober 2015

Jerebu oh jerebu

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Salam pertemuan kembali setelah lama tidak mampu menghasilkan catatan di laman ini. Untuk pengetahuan semua, saya sedang berhadapan dengan peperiksaan untuk akhir Semester 3. Diharapkan anda semua dapat mendoakan saya supaya Berjaya. Insyallah. Kebelakangan ni kita terpaksa menghadapi satu ujian yang agak besar iaitu jerebu. Sebenarnya di kawasan tempat tinggal iaitu di rumah saya Bacaan IPU mencecah bacaan tidak sihat. Hal ini sudah tentu memberi kesan kepada kesihatan kita. Hal ini amat ketara bagi mereka yang terpaksa bekerja dengan lebih masa di luar. Mereka yang terdedah kepada ancaman jerebu ini hendaklah memakai penutup hidung dan mulut yang disediakan. Seterusnya, sebbagai rakyat kita mesti mengamalkan gaya hidup sihat seperti bayakkan minum air mineral. Hal ini sangat penting bagi mengekalkan suhu badan yang seimbang. Digalakkan juga untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah. Selagi boleh elak kita elak. Jangan dah terhantuk baru terngadah. Saya rasa setakat itu sahaja catatan pada kali ini. Moga bertemu lagi. Senyum sokmo